September 2007
September 29, 2007
September 29, 2007
Ya Allah,
Dengan Al-Quran, kurniakanlah kasih sayangMu kepada hamba. Jadikanlah Al-Quran sebagai imam, cahaya, hidayah, dan sumber rahmat bagi hamba.
Ya Allah,
Ingatkan hamba apabila ada ayat yang hamba lupa mengingatkannya. Ajarkan pada hamba, ayat yang hamba bodoh memahaminya. Kurniakanlah pada hamba kenikmatan membacanya, sepanjang waktu, baik tengah malam atau tengah hari. Jadikanlah Al-Quran bagi hamba sebagai hujjah, ya Rabbal Alamin.
Ya Allah,
Kurniakanlah kebaikan bagi hamba dalam beragama, yang merupakan kunci kehormatan bagi hamba. Kurniakanlah kebaikan di dunia, yang merupakan tempat hamba menjalani hidup. Kurniakanlah kebaikan akhirat bagi hamba, yang merupakan tempat hamba kembali. Jadikanlah kehidupan hamba sentiasa lebih bak. Jadikanlah kematian sebagai kebebasan hamba dari segala keburukan.
Ya Allah,
Jadikan umur terbaik hamba di penghujungnya, jadikan amal terbaik hamba di penutupnya, jadikan hari-hari terbaik hamba saat bertemu denganMu.
Ya Allah,
Hamba memohon kepadaMU kehidupan yang baik, kematian yang baik, dan tempat kembali yang tidak menyedihkan dan terhindar dari badai.
Ya Allah,
Hamba memohon kepadaMu permintaan yang terbaik, doa yang terbaik, kejayaan yang terbaik, ilmu terbaik, kehidupan terbaik, kematian terbaik. Kuatkanlah hamba, beratkanlah timbangan kebajikan hamba, realisasikan keimanan hamba, tinggikan darjat hamba, terimalah solat hamba, ampuni dosa-dosa hamba dan hamba memohon syurga yang tertinggi.
Ya Allah,
Hamba memohon kurnia yang wajib Engkau berikan, ampunan yang harus Engkau kurniakan, keselamatan dari segala dosa, ghanimah dari segala kebajikan, dan kemenangan mendapat syurga dan keselamatan dari api neraka.
Ya Allah,
Kurniakanlah kebaikan bagi hamba dalam segala urusan, berikan pahala kepada kami dari segenap luka dunia dan seksa akhirat.
Ya Allah,
Anugerahkanlah kepada kami rasa takut kepadaMu, yang membatasi antara kami dengan perbuatan maksiat kepadaMu, dan anugerahkanlah ketaatan kepadaMu yang akan menyampaikan kami kepada syurgaMu, anugerahkanlah pula keyakinan yang akan menyebabkan ringannya bagi kami segala musibah di dunia ini. Ya Allah, anugerahkanlah kenikmatan kepada kami melalui pendengaran, penglihatan dan dalam kekuatan kami selama kami masih hidup dan jadikanlah ia warisan dari kami Ya Allah. Jadikanlah balasan kami kepada orang-orang yang menganiaya kami, dan tolonglah kami terhadap orang yang memusuhi kami. Jangan Engkau jadikan musibah kami ada dalam urusan agama kami. Janganlah Engkau jadikan dunia ini adalah cita-cita kami terbesar dan puncak dari ilmu kami. Jangan Engkau jadikan berkuasa atas kami, orang-orang yang tidak mengasihi kami.
Ya Allah,
Jangan pernah Engkau tinggalkan dosa, melainkan Engkau ampuni. Tidak ada kesukaran kecuali Engkau berikan jalan keluar, tidak ada hutang kecuali Engkau penuhi, dan tidak ada satu keperluan dunia dan akhirat kecuali Engkau penuhi, wahai Tuhan semesta alam.
Ya Rabb kami, berikan kepada kami kebajikan di dunia dan kebajikan di akhirat, serta jagalah kami dari api neraka.
Semoga selawat dan salam sentisa terlimpah curah kepada Nabi Muhammad SAW, keluarga serta para sahabat terpilih
September 26, 2007
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, semoga semua sentiasa berada di bawah lindungan rahmat-Nya.

Antara yang menjadi kegemaran saya ialah mengimbau masa lampau, mengkaji adakah diri saya masih di takuk lama, tidak berubah-ubah umpama air kolam yang dasarnya berkeladak. Sesungguhnya banyak perubahan telah berlaku dalam tempoh dua tiga tahun ini. Misalnya, antara ahli kumpulan saya dalam gambar ini ada yang telah berhenti dari universiti dan berkeputusan bekerja. Agak pelik, tapi ini adalah kehidupan. Ada antara mereka saya tidak pernah ketemu langsung. Tidak tahu apa yang sudah terjadi. Sudah meninggal dunia atau masih hidup, saya tidak tahu. Inilah lumrah dunia – kita tidak akan tahu apa pun yang akan berlaku pada masa akan datang, mahupun sesaat selepas anda membaca tulisan ini. Benarlah firman Allah dalam Surat Luqman, ayat ke-34;
“Sesungguhnya hanya di sisi Allah ilmu tentang hari kiamat; dan Dia yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada di dalam rahim. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui dengan pasti apa yang akan dikerjakannya esok. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Mengenal” (31:34).
Ketika di Tahun 2 saya merupakan seorang yang gila dalam membuat penyelidikan. Boleh dikatakan saya tidak berapa hiraukan makan, minum, tidur saya semata-mata kerana ini. Namun sahabat karib saya mengingatkan adakah ini tujuan hidup saya? Apa yang akan saya perkatakan pada Allah kelak, saya seharusnya menjalankan tugas saya sebagai khalifah-Nya di muka bumi ini. Saya perlu fahami dengan jelas bahawa tugas saya sebagai manusia bukan sekadar bergurau senda bersuka ria di atas muka bumi ini. Sekiranya sedemikian, sekiranya saya tidak berasa susah payah dalam mengharung kehidupan ini, tentulah saya termasuk dalam golongan manusia yang rugi. Marilah kita sama-sama menghayati firman Allah ini;
“Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran” (Al-Asr:1-3).
Dalam ayat di atas, Allah bersumpah dengan masa yang sentiasa bergerak tanpa menunggu kita sesaat pun. Rugilah manusia yang masanya terbuang begitu sahaja tanpa melakukan perkara-perkara yang mendatangkan amal.
Allah itu lebih mengetahui.
Wassalam.
September 3, 2007
Assalammualaikum warahmatullahi wabakatuh
Sudah lama jari jemari ini tidak mengarang sejak posting yang pertama. Ada teman saya berkata, “Bukannya nak update blog!”. Hehe, maaf, masa masih belum kecukupan. Ada, tapi masih belum pakar benar dalam mencuri masa.
Setiap kali menjelang Hari Kemerdekaan atau Sambutan Tahun Baru, hati saya ini merasa tidak senang. Kedua-dua hari ini bukannya disambut dengan satu azam, semangat dan satu iltizam untuk menggerakkan diri untuk menjadi lebih baik dari tahun sebelumnya, tetapi manusia khususnya golongan remaja sibuk mencari hiburan yang kononnya disebatikan dengan dua hari ini. Pemikiran ini sudah tentunya salah, malah sudah jauh tersasar dalam erti kata cara hidup kita sebagai seorang yang bergelar Islam. Saya terbaca satu huraian menarik, berbunyi begini. Jika kita ingin melancong ke Langkawi, sudah tentu belanja yang dikeluarkan tidaklah banyak, cuma sekitar RM1500 sahaja. Cuma kita bandingkan dengan melancong ke negara Timur Tengah misalnya, belanja yang dikeluarkan mungkin sekali mencecah RM20,000. Begitulah kita ibaratkan kehidupan di dunia ini, dan cuba kita bandingkan dengan kehidupan akhirat. Kita tahu malahan mengaku bahawa dunia ini fana, sementara sahaja dan mati itu pasti tetapi alangkah sedihnya kita tidak berusaha sekeras mungkin untuk akhirat. Jika kita boleh bekerja berjam-jam mencari wang bagi meneruskan kehidupan di dunia ini, mengapa kita boleh menghabiskan masa berjam-jam bagi menyiapkan diri untuk kehidupan akhirat yang abadi? Malahan bagi sesetengah orang, tidak sampai sejam pun diperuntukkan untuk beribadat kepada Allah dalam sehari. Alangkah ruginya!
Berbalik kepada isu kemerdekaan, adakah sebenarnya kita boleh dikira betul-betul merdeka? Baik dari segi pemikiran mahupun dari segi fizikal? Mungkin dari segi fizikal kita nampak sebagai seorang warga merdeka, tetapi dari segi mentaliti jauh sekali. Budaya barat mudah benar menerjah masuk pemikiran kita, kita ceduk budaya-budaya tidak bermoral mereka dan kita jadikan ia sebahagian dari budaya kita. Bukan kah ini satu tanda kita tidak merdeka?
Kemerdekaan yang sebenar menurut Islam terkandung di dalam kata-kata Rub’ie bin A’mir ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum:
الله ابتعثنا لنخرج من شاء من عبادة العباد إلى عبادة الله, ومن جور الأديان إلى عدل الإسلام ومن ضيق الدنيا إلى سعة الدنيا والآخرة:.
Maksudnya: Allah mengutuskan kami (orang-orang islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat
Saya menasihati diri saya sebelum menasihati orang lain.
Moga bermanfaat dengan izin Allah.
Wassalam