Ini merupakan entry ketiga saya sepanjang hari ini. Tidak sibukkah, masih ada masa untuk menulis? Tidak, saya amat sibuk. Tugasan berlambak-lambak. Namun tidak dapat dinafikan gelojak hati saya untuk menulis lebih kuat dari segala. Mungkin ini entry terakhir untuk hari ini. Saya perlu berhenti menulis dan membaca seketika. Sudah banyak input yang saya dapat. Outputnya sahaja yang masih kurang. Kepala makin besar, tapi kaki statik sahaja saiznya. Ini satu pertumbuhan yang tidak sihat. Medan dakwah terbuka luas. Saya yang perlu melata di atas muka bumi ini, bukannya duduk di hadapan komputer membaca, membaca dan terus membaca.
Ditakdirkan Allah saya telah membaca satu lagi entry menarik yang ingin saya kongsi bersama. Berkenaan daya tarikan seorang daei. Sesiapa yang sudah membaca “Bagaimana Menyentuh Hati” karya Abbas Assisi pastinya faham benar dengan apa yang ingin saya sampaikan. Namun entry kali ini tidaklah menyentuh banyak – atau mungkin juga langsung tidak berkenaan buku ini, mungkin subtopiknya sahaja, saya tidak pasti. Saya sendiri masih belum habis membacanya – sekadar beberapa lembar – namun isi-isi yang disampaikan oleh penulis begitu menusuk, memang pantas sekali menjadi bahan bacaan wajib setiap para daei. Tulisan saya ini tidak ada kena mengena dengan buku Abbas Assisi tersebut, seperti yang telah saya nyatakan tadi. Ianya berkenaan dengan tulisan seorang hamba Allah yang tulisan beliau amat saya kagumi.
Perenggan yang ditulis ini benar-benar menarik hati saya;
“Proses tarbiyyah berkait rapat dengan thiqah. Thiqah ialah kepercayaan. Hasan al Banna menyebutkan tentang hal thiqah di dalam Arkanul Bai’ah ( Rukun Baiah ) sebagai seorang jundiyy menaruh kepercayaan penuh kepada kewibawaan dan keikhlasan pemimpin sehingga ke tahap lahir rasa kasih, menyanjung tinggi, hormat dan taat. Imam as-syahid menekankan lagi dengan menekankan bagaimana rupanya seorang jundiiy yang thiqah itu. Setiap pemimpin adalah jundiyy kepada pemimpin yang lain. Dan setiap jundiyy adalah pemimpin kepada jundiyy yang lain pula. Maka, perlu difahami bahawa seorang hubungan pemimpin dan jundiy adalah laksana ayah kepada anaknya dalam hubungan hati, seorang guru kepada anak murid dalam saluran ilmu, seorang syeikh kepada anak buah dalam didikan rohani, seorang ketua kepada pengikut dalam dakwah.
Kurang kualiti jundiy menyebabkan lemahnya kepercayaan (thiqah) yang diberikan kepadanya. Dalam lingkungan itulah, pengaruh dan keberkesanan seorang daie itu diukur. Graviti daie menunjukkan betapa kuatnya pengaruh seorang daie terhadap manusia yang dipimpinnya. Kepercayaan kepada pemimpin adalah asas kejayaan sebuah gerakan.
Kita memerlukan supaya jundiy dan pemimpin mempunyai thiqah. Daripada mad’u kepada daie dan jundiy kepada pemimpin. Thiqah adalah suatu yang diberi, bukan diminta. Itulah pemahaman benar kepada thiqah. Seorang pemimpin yang merasakan jundiynya tidak memberikan thiqahnya perlulah mengoreksi diri terlebih dahulu. Seorang jundiy yang sukar memberikan thiqahnya perlu juga mengoreksi ego dan diri terlebih dahulu. Kejayaan sesuatu organisasi bergantung pada pemahaman, kepercayaan dan pelaksanaan” – oleh AS
Saya pernah membaca tulisan ini beberapa lama dahulu – namun kini baru saya memahami hakikat sebenar – sesuai dengan kefahaman yang saya ada. Tidak semua yang kita baca akan meninggalkan kesan kepada diri kita. Mungkin esok, lusa, tulat atau mungkin juga bertahun-tahun lagi baru kita akan memahami dengan sebenarnya apa yang kita baca pada hari ini. Jika anda tidak memahami tulisan saya ini, kembalilah membacanya nanti. Mungkin pada waktu itu Allah telah memberi anda kefahaman tentang hal ini. Insya Allah