Fikrah


Di manakah kamu sedangkan jalan ini terlalu jauh, Adam telah mengharungi pelbagai penat lelah, kerananya juga Nuh kepenatan, Ibrahim khalilullah dicampak ke dalam api, Ismail di tidurkan untuk disembelih, Yusuf dijual dengan harga murah dan merengkok di dalam penjara beberapa tahun, Zakaria dibelah kepalanya dengan gergaji, Yahya disembelih, Ayyub menghadapi penyakit yang memeritkan, Isa terpaksa berjalan bersama generasi yang ganas dan Muhammad s.a.w. mengharungi pelbagai bentuk penentangan… ….sedangkan kamu membuang masa dan bermain-main. Itulah erti kehidupan, erti perhambaan dan erti tanggungjawab yang difahami oleh mereka yang menjadikan mereka sedemikian rupa

-Al-Fawaid; Ibnu Qayyim Al Jauzy

Muslim yang ingin mempersiapkan diri dalam perjuangan Islam perlu memperbaiki dirinya agar sentiasa terkehadapan dari manusia lain. Risalah Islam yang syumul ini hendaklah difahami dengan membentuk diri yang syumul juga. Maka hendaklah diteliti di sini tentang aspek-aspek seorang daie Muslim dalam rangkanya untuk menjadi seorang Muslim yang sempurna.

Sifat-sifat yang perlu ada pada diri duah ialah:

Kuat tubuh badan (Qawiyyal Jism)

Dakwah berat tanggungjawab dan tugas – perlukan badan yang sihat dan kuat.

Rasulullah saw menitikberatkan soal ini. Maksud Hadis : Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan.

Pesanan al-Banna:

Memeriksa kesihatan diri,mengamalkan riyadhah dan tidak memakan/minum suatu yang merosakkan badan.

Akhlak yang mantap (Matinul Khuluq)

Akhlak kita ialah Al-Quran dan ditunjukkan oleh Nabi saw.

Dijelaskan beberapa unsur oleh Imam Al-Banna dalam kewajipan dai iaitu sensitif, tawadhu, benar dalam perkataan dan perbuatan, tegas, menunai janji, berani, serius, menjauhi teman buruk dll.

Fikiran yang berpengetahuan (Mutsaqqafal Fikri)

Perlu berpengetahuan tentang Islam dan maklumat am supaya mampu menceritakan kepada orang lain.

Perlu bersumberkan kepada Al-Quran dan Hadis dan diterangkan oleh ulama yang thiqah.

Pesan Imam Banna: Perlu boleh membaca dengan baik, mempunyai perpustakaan sendiri dan cuba menjadi pakar dalam bidang yang diceburi.

Mampu membaca Al-Quran dengan baik, tadabbur, mempelajari seerah, kesah salaf dan kaedah serta rahsia hukum yang penting.

Mampu berusaha (Qadiran ala Kasbi)

Walaupun kaya, perlu bekerja.

Tidak terlalu mengejar jawatan dalam kerajaan/resmi.

Meletakkan jawatan dan tempat kerja mengikut keperluan dakwah lebih utama dari gaji dan pendapatan.

Melakukan setiap kerja dengan betul dan sebaiknya (ihsan).

Menjauhi riba dalam semua lapangan.

Menyimpan untuk waktu kesempitan.

Menjauhi segala bentuk kemewahan apatahlagi pembaziran.

Memastikan setiap sen yang dibelanja tidak jatuh ke tangan bukan Islam.

Akidah yang sejahtera (Salimul Aqidah)

Redha Allah sebagai tuhan, Islam sebagai Agama dan Muhammad saw sebagai Nabi.

Sentiasa muraqabah Allah dan mengingati akhirat, memperbanyakkan nawafil dan zikir.

Menjaga kebersihan hati, bertaubat, istighfar, menjauhi dosa dan syubhat.

Ibadah yang betul (Sahihul Ibadah)

Perlu melakukan ibadat yang meninggikan roh dan jiwanya.

Perlu belajar untuk membetulkan amalannya dan mengetahui halal dan haram.

Tidak melampau atau berkurang (pertengahan).

Mampu melawan nafsu (Mujahadah ala Nafsi)

Perlu azam yang kuat untuk melawan kehendak nafsunya dan mengikut kehendak Islam.

Tidak menghiraukan apa orang kata dalam mempraktikkan Islam.

Dai mungkin melalui suasana sukar yang tidak akan dapat dihadapi oleh orang yang tidak biasa dengan kesusahan.

Menjaga waktu (Haarithun ala Waqtihi)

Waktu lebih mahal dari emas, waktu adalah kehidupan yang tidak akan kembali semula.

Sahabat sentiasa berdoa agar diberkati waktu yang ada pada mereka.

..Aku adalah makhluk baru.. menjadi saksi kepada manusia.

Tersusun dalam urusan (Munazzamun fi syu’unihi)

Untuk manfaatkan waktu dengan baik.. perlu penyusunan dalam segala urusan.

Gunakan segala masa dan tenaga tersusun untuk manfaat Islam dan dakwah.

Berguna untuk orang lain (Nafi’un li ghairihi)

Dai umpama lilin yang membakar diri untuk menyuluh orang lain. Dai adalah penggerak dakwah dan Islam. Masa depan Islam, hidup mati Islam bergantung kepada dai.

Amal Islam ialah untuk menyelamatkan orang lain dari kesesatan.

Dai merasa gembira bila dapat membantu orang lain. Paling indah dalam hidupnya ialah bila dapat mengajak seorang manusia ke jalan Allah.

 

 

Kali ini saya sekadar copy-and-paste dari BahanTarbiyyah.info. Saya begitu sukakan artikel ini, mengenai masa. Exam semakin menghampiri dan masa semakin suntuk. Setiap detik begitu berharga. Oleh itu, alangkah ruginya kita jika tidak menggunakan masa dengan sebaik mungkin. Marilah membaca artikel ini berulang kali agar kesan di jiwa dapat dipasak sebaik mungkin seterusnya dizahirkan sebagai amalan. Taqaballahu wa minkum.

————————————————————————————————

Jika kita ditanya apakah harta yang paling bernilai yang kita miliki, pasti kita akan menjawab beberapa jawapan seperti wang, anak keturunan, perniagaan, kecantikan, kepandaian mahupun kesihatan. Kita boleh sahaja menjawabnya akan tetapi jauh di hati kita ia bukanlah yang termahal dan tertinggi nilainya. Kesemuanya tidak sama nilai dengan nilai masa kita. Jadi benarlah masa adalah sesuatu yang paling bernilai bagi kita umat Muhammad setelah Islam.

Bersediakah kita untuk memahami betapa pentingnya masa untuk kita khususnya kaum Muslimin? Kerana umat yang dalam kemerosotan dan penindasan seperti kita ini tidak tegar memelihara masa meskipun keadaan mereka adalah umpama telur di hujung tanduk dan hanya retak menanti belah. Semestinya kita mengetahui bahawa masa adalah anugerah adil yang dikurniakan Allah swt kepada makhluknya. Sesiapa yang bersyukur yakni dengan menggunakan sesungguhnya maka Allah akan tambahkan nikmatNya, tapi barangsiapa engkar maka azab Allah amatlah pedih.

 

Jadilah Umat Terbaik

 

Tatkala kita membaca al-Quran, kita akan dapati bahawa Allah sering bersumpah dengan masa. Dan Tuhan sememangnya tidak akan bersumpah melainkan sesuatu itu penting dan mempunyai nilai berharga. Allah swt berfirman;

 

Demi malam apabila menutupi (cahaya siang) dan siang apabila terang benderang.” (al-Lail:1-2)

 

 

Demi waktu Dhuha dan demi malam apabila telah sunyi.” (adh-Dhuha:1-2)

 

 

Demi fajar dan malam yang sepuluh.” (al-Fajr:1-2)

 

 

Demi matahari dan cahayanya di pagi hari dan bulan apabila mengirinya.” (asy-Syams:1-2)

 

 

Demi masa.” (al-Ashr:1)

 

 

Maka sesungguhnya Aku bersumpah dengan cahaya merah di waktu senja.” (al-Insyiqaq:16)

 

Apakah yang menarik disebalik masa-masa ini hinggakan Allah bersumpah dengannya. Berbalik kepada tujuan al-Quran diturunkan, maka Allah menginginkan kita supaya memerhatikan perkara-perkara ini agar mendapat pengajaran. Begitu banyak sumpahNya berkaitan dengan waktu.

 

Maka umat yang tidak mengenal harga nilai masa tidak akan menjadi umat yang maju dan berjaya. Ketika kita membaca,”Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia,” hati kita pasti terkesan dengan sebutan umat terbaik akan tetapi keadaannya sungguh sangat menyedihkan.

 

Pada asasnya, sesuatu umat akan menjadi terbaik dan berjaya hanya jika mampu memanfaatkan kurnia Allah sebaik-baiknya dan tidak menyalahgunakannya. Maka apatah lagi bagi kita umat Islam. Dapatkah kita memahami betapa pentingnya masa yang sering kita sia-siakan?

 

Islam Sangat Menghargai Masa

 

Tahukah kita agama kita ini sangat menitikberatkan masa. Renungkanlah hadith al-Musthafa saw tentang amal yang disukai Allah. “Wahai Rasulullah, apakah perbuatan yang paling disukai Allah? Baginda menjawab,” Solat tepat pada waktunya.” (HR Muslim). Kemudian perhatikanlah pula ayat berikut;

 

Sesungguhnya solat itu adalah fardhu yang ditentukan waktunya atas orang-orang beriman.” (an-Nisa:103)

 

Lihatlah pula puasa, haji, zakat dan lain-lain lagi. Kesemuanya mempunyai masa dan had yang telah ditentukan.

 

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (yaitu) dalam beberapa hari yang tertentu.(al-Baqarah: 183-184)

 

(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi.” (al-Baqarah:197)

 

Mereka Memahaminya.

 

Penemuan pertama kaum Muslimin awal masa keemasannya adalah jam. Pada waktu itu mereka mengembangkan dan meletakkannya ditempat umum dan diruang-ruang istana. Mereka begitu membanggakannya. Mengapa? Sungguh mereka berjaya kerana memerhatikan masa. Sungguh agung umat ini.

 

Namun kini kita tidak begitu. Seorang yang taat beragama sepatutnya menghargai waktu dalam kehidupannya. Apatah lagi duah yang mengajak manusia ke arah perjuangan Islam. Kisah berikut merupakan kisah benar yang berlaku kepada seorang tokoh Muslim yang berjumpa dengan warga asing. Muslim itu terlambat beberapa minit.

 

“Anda muslim?” tanya warga asing tersebut.

 

“Ya.”

 

“Anda solat?” tanyanya lagi.

 

“Ya.”

 

“Berpuasa pada bulan Ramadhan?”

 

“Ya.”

 

“Anda sudah menunaikan haji?”

 

“Ya, tentu.”

 

“Anda solat Jumaat tepat waktu?

 

“Sudah tentu.”

 

“Sungguh aneh orang-orang Islam. Agama mereka mengajarkan prinsip-prinsip agung, sayang mereka tidak mengendahkannya.”

 

Kisah ini menggoncang jiwa kita jika kita memahaminya. Seolah-olah mereka menyindir kita, anda agungkan agama tetapi sebenarnya anda bukanlah pemeluk agama yang taat kerana tidak menghargai ajaran agama.

 

Bagaimana dengan kita? Sudahkah kita bersedia menghargai masa kita, wahai umat Islam?

 

Ke Mana Masa Muda Kita?

 

Renungkanlah hadith Rasulullah saw! “Pada hari kiamat tidak seorangpun hamba diperkenankan meninggalkan posisinya kecuali ditanya lima perkara. Tentang penggunaan umurnya, masa mudanya, kekayaannya dari mana dia peroleh dan untuk apa digunakan dan apa yang dilakukan terhadap ilmunya.” (HR Tirmidzi :2416)

 

Masa muda mendapat tempat khusus dalam hadith diatas. Meskipun umur sudah disebutkan, namun masa muda dikhususkan sekali lagi. Tentunya ada beberapa sebab. Pertama, masa tersebut begitu penting. Kedua, begitu banyak orang membazirkan masa tersebut. Maka masa muda disebutkan secara khusus.

 

Maka para pemuda, kemanakah masa kita dihabiskan? Apakah dengan menonton televisyen berjam-jam, atau melayari internet berkurun-kurun? Atau berpeleseran di jalanan dan mengganggu orang-orang dijalanan? Atau membaca buku-buku tidak berfaedah, kartun, komik, atau filem yang tidak pernah habis?

 

Andainya setiap nafas kita dikumpulkan ke dalam setiap kotak. Maka di hari perhitungan dibuka semua kotak nafas kita itu satu persatu. Kotak pertama kosong. Kotak kedua kosong. Kotak ketiga berisi percakapan yang sia-sia. Kotak keempat berisi fitnah, umpat dan caci maki. Maka manakah amal yang boleh kita banggakan di depan Allah swt?!

 

Akan tetapi lain hal jika kotak yang pertama berisi bacaan al-Quran. Kotak kedua hafazan kitab Allah dan hadith. Kotak ketiga syarahan menyedarkan manusia. Kotak keempat amal perjuangan Islam yang ikhlas. Kotak keempat pula berisi nafas keletihan berjuang di jalan Allah. Maka inilah yang boleh kita banggakan didepan Allah swt.

 

Membazir Masa adalah Maksiat.

 

Tidakkah kita sedari pembaziran waktu adalah maksiat yang besar. Pembazir ini saudaranya syaitan dan mengikuti jejak langkahnya. Mereka yang menghabiskan masa berjam-jam duduk di café bersembang dan hanya menghirup secawan teh dan sebatang rokok adalah melakukan maksiat yang tidak disedari. Masakan kita boleh berehat sedangkan keadaan umat begitu mendesak! Hampir sahaja sampai ajal mereka ditimpa malang bertimpa-timpa.

 

Apabila kita bertanya apa yang mereka lakukan dan mereka menjawab; “Menghabiskan masa….” atau “Saja-saja rileks berehat“. Sebenarnya waktu adalah kehidupan. Mereka yang menyiakan waktu sebenarnya sedang membunuh diri sendiri secara perlahan. Andainya masa itu emas maka ia boleh dibeli dengan wang. Akan tetapi masa adalah kehidupan dan kehidupan tidak boleh diperjualbelikan. Tiada siapa mahu menjual kehidupannya.

 

Semangat Membara…Memindahkan Gunung!

 

Titipkan semangat Ibnul Jauzi ketika temannya berkata padanya; ” Marilah kita sejenak bersembang santai;”

 

“Kalau begitu, hentikanlah matahari untuk sementara waktu,’ jawab Ibnul Jauzi.

 

Juga bagaimana Ibnu ‘Aqil yang menulis buku “al-Funun” dengan jumlah 800 jilid dan merupakan buku yang paling besar sejak Nabi Adam dan mungkin sampai hari kiamat. Beliau berkata;” Meskipun usiaku sudah 80 tahun, namun aku masih memiliki semangat, kegigihan dan keinginan untuk memanfaatkan masaku seperti aku berusia 20 tahun.”

 

Oleh kerana peribadi ulama dan manusia sebegini, umat masih tetap bertahan ratusan tahun lamanya memimpin dunia dan menerangi gelapnya. Dan kita hanya mampu berkata,” Ini sesuatu yang luar biasa! Siapa yang sanggup melakukannya?!

 

Maka anda tidak harus melakukannya. Sekali-kali tidak. Tapi anda tidak perlu menghabiskan masa anda sia-sia. Anda tidak harus duduk santai di kedai, café beberapa jam hanya untuk sekadar makan. Anda tidak harus meluang masa menonton telenovela dan drama. Anda tidak harus duduk bersembang perkara tidak berguna. Anda tidak harus menantikan bola yang disepak ke sana ke mari masuk ke dalam gol. Anda tidak harus bersolek di depan cermin seolah tiada hari esok. Anda tidak harus berpeleseran untuk window shopping di pasaraya dan mall. Anda tidak harus membicarakan artis itu memakai pakaian fesyen apa dan dengan siapa dia bercinta. Anda tidak harus buat begitu. Andai sahaja anda memahaminya, cukup untuk membuatkan umat ini berjaya.

 

Jika hal-hal itu kita lakukan kemudian kita bersedih dengan nasib umat, kita menghina saudara seIslam kita. Kemudian kita berseronok kembali. Maka insafilah diri kita!

 

Bangkitlah dari kekeliruan dahulu kepada kesempurnaan Islam. Pergunalah masa. Susunlah kerja dan tugasan. Letakkanlah mana yang utama atas yang lain. Semua manusia diberikan 24 jam akan tetapi kenapa ada yang berjaya dan ada yang tidak. Ada yang kaya dan ada yang tidak. Dan juga ada ke syurga dan ada ke neraka? Maka itu bergantung pada pemanfaatan masa kita. Manfaatkan masa muda kita sebelum menjadi tua. Sebelum tua menjadi lebih tua. Berapa ramai yang selalu menyesal tidak beribadah di waktu mudanya dan kemudian menangis kesal. Betapa ramai yang tidak memakai hijab di waktu mudanya dan kemudian meraung takut kesal kerana dosa yang dilakukan. Betapa ramai merasa rugi di waktu umurnya sedang dia tidak mampu untuk sujud dan rukuk sebanyak orang muda. Maka perhatikanlah ini wahai Ulul Albab!

 

Ya Allah, jadikanlah kami golongan yang memanfaatkan masa dan kehidupan kami dan raihkanlah kemenangan umat Islam di atas usaha kami.

 

Hasbunallahu wa nikmal wakil

Letter to a Muslim Student from Hassan Al-Banna

 

Ini merupakan entry ketiga saya sepanjang hari ini. Tidak sibukkah, masih ada masa untuk menulis? Tidak, saya amat sibuk. Tugasan berlambak-lambak. Namun tidak dapat dinafikan gelojak hati saya untuk menulis lebih kuat dari segala. Mungkin ini entry terakhir untuk hari ini. Saya perlu berhenti menulis dan membaca seketika. Sudah banyak input yang saya dapat. Outputnya sahaja yang masih kurang. Kepala makin besar, tapi kaki statik sahaja saiznya. Ini satu pertumbuhan yang tidak sihat. Medan dakwah terbuka luas. Saya yang perlu melata di atas muka bumi ini, bukannya duduk di hadapan komputer membaca, membaca dan terus membaca.

Ditakdirkan Allah saya telah membaca satu lagi entry menarik yang ingin saya kongsi bersama. Berkenaan daya tarikan seorang daei. Sesiapa yang sudah membaca “Bagaimana Menyentuh Hati” karya Abbas Assisi pastinya faham benar dengan apa yang ingin saya sampaikan. Namun entry kali ini tidaklah menyentuh banyak – atau mungkin juga langsung tidak berkenaan buku ini, mungkin subtopiknya sahaja, saya tidak pasti. Saya sendiri masih belum habis membacanya – sekadar beberapa lembar – namun isi-isi yang disampaikan oleh penulis begitu menusuk, memang pantas sekali menjadi bahan bacaan wajib setiap para daei. Tulisan saya ini tidak ada kena mengena dengan buku Abbas Assisi tersebut, seperti yang telah saya nyatakan tadi. Ianya berkenaan dengan tulisan seorang hamba Allah yang tulisan beliau amat saya kagumi.

Perenggan yang ditulis ini benar-benar menarik hati saya;

“Proses tarbiyyah berkait rapat dengan thiqah. Thiqah ialah kepercayaan. Hasan al Banna menyebutkan tentang hal thiqah di dalam Arkanul Bai’ah ( Rukun Baiah ) sebagai seorang jundiyy menaruh kepercayaan penuh kepada kewibawaan dan keikhlasan pemimpin sehingga ke tahap lahir rasa kasih, menyanjung tinggi, hormat dan taat. Imam as-syahid menekankan lagi dengan menekankan bagaimana rupanya seorang jundiiy yang thiqah itu. Setiap pemimpin adalah jundiyy kepada pemimpin yang lain. Dan setiap jundiyy adalah pemimpin kepada jundiyy yang lain pula. Maka, perlu difahami bahawa seorang hubungan pemimpin dan jundiy adalah laksana ayah kepada anaknya dalam hubungan hati, seorang guru kepada anak murid dalam saluran ilmu, seorang syeikh kepada anak buah dalam didikan rohani, seorang ketua kepada pengikut dalam dakwah.

Kurang kualiti jundiy menyebabkan lemahnya kepercayaan (thiqah) yang diberikan kepadanya. Dalam lingkungan itulah, pengaruh dan keberkesanan seorang daie itu diukur. Graviti daie menunjukkan betapa kuatnya pengaruh seorang daie terhadap manusia yang dipimpinnya. Kepercayaan kepada pemimpin adalah asas kejayaan sebuah gerakan.

Kita memerlukan supaya jundiy dan pemimpin mempunyai thiqah. Daripada mad’u kepada daie dan jundiy kepada pemimpin. Thiqah adalah suatu yang diberi, bukan diminta. Itulah pemahaman benar kepada thiqah. Seorang pemimpin yang merasakan jundiynya tidak memberikan thiqahnya perlulah mengoreksi diri terlebih dahulu. Seorang jundiy yang sukar memberikan thiqahnya perlu juga mengoreksi ego dan diri terlebih dahulu. Kejayaan sesuatu organisasi bergantung pada pemahaman, kepercayaan dan pelaksanaan” – oleh AS

Saya pernah membaca tulisan ini beberapa lama dahulu – namun kini baru saya memahami hakikat sebenar – sesuai dengan kefahaman yang saya ada. Tidak semua yang kita baca akan meninggalkan kesan kepada diri kita. Mungkin esok, lusa, tulat atau mungkin juga bertahun-tahun lagi baru kita akan memahami dengan sebenarnya apa yang kita baca pada hari ini. Jika anda tidak memahami tulisan saya ini, kembalilah membacanya nanti. Mungkin pada waktu itu Allah telah memberi anda kefahaman tentang hal ini. Insya Allah

 

 

Ahlan wasahlan kepada semua pembaca,
Kepada pembaca rutin blog saya ini, mahupun kepada pembaca yang sekadar tersadung menjumpai blog ini, selamat datang saya ucapkan. Sekiranya anda mendapati tulisan saya ini berbaur rasa kurang enak atau pun anda berasa saya ini menulis sesuatu yang agak “extreme”, silalah meninggalkan blog saya ini, dan kembalilah apabila anda telah mempunyai kefahaman yang sama dengan saya insyaAllah. Sesungguhnya blog saya ini bukan satu blog yang mengisahkan kisah hidup saya sehari-sehari, apa yang saya makan, apa resepi kegemaran saya, warna, pakaian dan sebagainya tetapi ianya adalah blog yang mencorakkan pemikiran saya yang ingin saya kongsi dengan pembaca budiman sekalian. Selamat membaca dan berfikir.

——————————————————————————————
Peperiksaan semakin menghampiri – namun saya tidak dapat menahan diri saya dari menulis, itulah, jika tidak dapat diluahkan dengan perkataan saya khuatir hal ini seperti tumor yang memakan otak.
Saya telah membaca satu tulisan berkenaan pendakwah muda dan saya akui saya adalah salah seorang darinya. Tulisan itu begitu bermakna sekali, yakni kita memahami sesuatu yang indah dalam usia yang agak muda – awal 20-an kita telah diberi nikmat kefahaman Islam oleh Allah Tuhan Semesta Alam untuk mencegah kemungkaran dan mengajak manusia ke arah kebaikan. Tugas ini iaitu berdakwah sebagaimana yang kita semua maklum adalah tanggungjawab semua manusia, namun tidak ramai yang sanggup menyahut seruan dan perintah Allah ini. Hendaklah kita sentiasa menghayati firman Allah Taala dari Surah Al-Asr: 1-3, yang jelas menyatakan tanggungjawab kita sebagai manusia dalam amal makruf nahi mungkar.

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran”.

Sesungguhnya kita memahami bahawa pemuda ialah golongan yang berjiwa besar, berdarah panas dan semangatnya sentiasa berkobar-kobar. Namun, tindak tanduk pendakwah muda seharusnya mendapat bimbingan golongan veteran, agar tidak tersasar dari matlamat dan tujuan sebenar berada di jalan dakwah. Pendakwah muda tidak seharusnya cepat melatah, sesungguhnya dengan membaca beberapa buah buku tidak cukup menjadikan anda mahir dalam selok belok jalan dakwah. Baru beberapa buah buku sudah besar kepala – ini biasa berlaku di kalangan pendakwah muda. Terlalu banyak membaca menyebabkan seseorang pendakwah muda itu lebih terkedepan, berpengetahuan luas dan adakalanya ini mengakibatkan dia menjadi besar kepala dan merasakan orang lain lembab dalam menjalankan kerja. Ini amat biasa berlaku, saya juga mungkin tidak terkecuali. Oleh hal yang demikian, amat penting dalam jiwa seorang pendakwah muda untuk berasa rendah diri, merasakan bahawa diri masih serba kekurangan dan perlu belajar dari golongan veteran yang banyak pengalaman. Latihan amali sewajarnya seiringan dengan ilmu yang terpasak di dada. Amat penting dalam diri seorang pendakwah muda untuk akur dengan keputusan harakah yang dianggotai, kerana sesungguhnya kepatuhan amat penting dalam kelangsungan gerak kerja dakwah. Perlulah sentiasa beringat bahawa walaupun ada keputusan yang tidak dipersetujui, tentu ada hikmat tersirat yang Allah ingin hadiahkan kelak. Kita perlu memahami dengan sepenuh jiwa bahawa Allah menyediakan apa yang kita perlukan, dan bukannya memberi apa yang kita mahu.