Kita ini manusia, manusia yang lemah. Acapkali kita diserang dari pelbagai pihak, baik serangan itu datang dari kaum yang nyata kafirnya mahupun yang munafik. Kita ini manusia yang nafsunya sentiasa bergelojak; jika tidak dikawal gelojakan nafsu dari menjadi lebih ganas nescaya kita kalah tersungkur ke dalam jurang api neraka. Syaitan sentiasa mencari-cari pintu untuk menghembus hasutan jahatnya. Melemahkan ruh manusia, hingga hati manusia itu jauh dari mengingatiNya. Ingatkah kamu bahawa manusia itu berongga-rongga? Tutuplah rongga-rongga itu agar tidak menjadi pintu masuk syaitan!
Refleksi
Disember 28, 2007
Pengamatan:
- Umat Islam tenggelam dengan hiburan – ini sudah tidak dapat disangkal lagi.
- Segala hal yang berkaitan dengan Islam dianggap sebagai ilmu agama – bukan Islam sebagai ad-deen (cara hidup)
- Segala hal yang berkaitan dengan Islam – hampir kesemuanya, adalah janggal di kalangan umat Islam
- Atau lebih tepat lagi hal-hal berkaitan akhirat adalah amat janggal di kalangan umat Islam
- Qur’an sekadar di letak di atas almari tinggi dan dianggap “sacred”. Quran sepatutnya di hati bukannya di tempat tinggi dibiarkan berhabuk dan tidak dibaca.
- Hal solat sudah lama tidak dititik beratkan, ini adalah natijah daripada kelemasan umat Islam dalam dunia hiburan.
- Hiburan-hiburan bodoh dan tidak langsung memberi peningkatan kepada sel-sel otak menjadi pilihan majoriti umat Islam.
- Hal-hal agama dipandang remeh dan kuno. Ramai yang lebih suka hidup seperti atheist.
- Jika sudah cukup solat, baca Quran sudah dianggap “fuyoo” pious
- dan sebagainya yang terlalu banyak untuk ditulis di sini.
Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; Akhirnya ia menjadi hancur bersepai dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat) dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya (57:20)
- Berusaha keras untuk memulihkan keadaan walaupun hasilnya akan didapati beratus-ratus tahun akan datang
- Berusaha untuk berjiwa islami setiap masa walaupun berada di dalam lopak jahilliyah – istiqamah!
- Tidak kenal erti rehat kerana jiwa yang berehat terikat kepada nafsu
- Menjadi diri anda yang sebenar iaitu sebagai seorang daei di mana jua anda berada.
Demi masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar (Al-Asr: 1-3)Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu (2:148)
Disember 20, 2007
Graviti seorang daei akan meningkat apabila dia berada dilingkungan orang-orang soleh, ataupun apabila dia berada di kalangan orang-orang yang kurang soleh – as in fasik. Saya lebih berminat untuk membincangkan perkara yang kedua – yakni hal itu menyebabkan jiwanya yang secara batinnya ingin memenangkan kebaikan bergelojak rasa ingin membanteras. Saya telah menjumpai website yang memaparkan gambar-gambar reunion sekolah saya dahulu – dan saya telah mencapai beberapa konklusi – dan bisa saya panjangkan daripada bacaan saya tentang “Tanggungjawab Pelajar Islam dalam Memulihkan Negara-negara Islam”. Antara pemerhatian saya ialah:
1- Walaupun terdiri daripada golongan professional, mereka ini lebih berkiblatkan barat daripada mengambil intipati Islam. Secara amnya, golongan professional negara ini lebih suka mengikut acuan barat, lebih-lebih lagi bagi mereka yang graduate dari luar negara. Yang graduate dari dalam negara juga sama. Tidak sah kalau tidak menjemput penyanyi/penghibur/pelawak/manusia yang terkinja-kinja di atas pentas + berpakaian tidak senonoh bagi “menghiburkan” (kononnya) tetamu yang hadir. Sukarnya mendapatkan majlis-majlis keramaian yang membesarkan nama Allah – maksud saya majlis-majlis seperti reunion.
Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan) (Al-Ankabut:57)
2 – Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (Al-An’am:116) Jika kita berpakaian seperti mereka (yakni the kuffar) samalah kita seperti mereka – ini adalah contoh paling mudah. Belum termasuk cara berfikir, hidup, cara kita bergembira dan lain-lain
Disember 13, 2007
Muslim yang ingin mempersiapkan diri dalam perjuangan Islam perlu memperbaiki dirinya agar sentiasa terkehadapan dari manusia lain. Risalah Islam yang syumul ini hendaklah difahami dengan membentuk diri yang syumul juga. Maka hendaklah diteliti di sini tentang aspek-aspek seorang daie Muslim dalam rangkanya untuk menjadi seorang Muslim yang sempurna.
Sifat-sifat yang perlu ada pada diri duah ialah:
Kuat tubuh badan (Qawiyyal Jism)
Dakwah berat tanggungjawab dan tugas – perlukan badan yang sihat dan kuat.
Rasulullah saw menitikberatkan soal ini. Maksud Hadis : Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan.
Pesanan al-Banna:
Memeriksa kesihatan diri,mengamalkan riyadhah dan tidak memakan/minum suatu yang merosakkan badan.
Akhlak yang mantap (Matinul Khuluq)
Akhlak kita ialah Al-Quran dan ditunjukkan oleh Nabi saw.
Dijelaskan beberapa unsur oleh Imam Al-Banna dalam kewajipan dai iaitu sensitif, tawadhu, benar dalam perkataan dan perbuatan, tegas, menunai janji, berani, serius, menjauhi teman buruk dll.
Fikiran yang berpengetahuan (Mutsaqqafal Fikri)
Perlu berpengetahuan tentang Islam dan maklumat am supaya mampu menceritakan kepada orang lain.
Perlu bersumberkan kepada Al-Quran dan Hadis dan diterangkan oleh ulama yang thiqah.
Pesan Imam Banna: Perlu boleh membaca dengan baik, mempunyai perpustakaan sendiri dan cuba menjadi pakar dalam bidang yang diceburi.
Mampu membaca Al-Quran dengan baik, tadabbur, mempelajari seerah, kesah salaf dan kaedah serta rahsia hukum yang penting.
Mampu berusaha (Qadiran ala Kasbi)
Walaupun kaya, perlu bekerja.
Tidak terlalu mengejar jawatan dalam kerajaan/resmi.
Meletakkan jawatan dan tempat kerja mengikut keperluan dakwah lebih utama dari gaji dan pendapatan.
Melakukan setiap kerja dengan betul dan sebaiknya (ihsan).
Menjauhi riba dalam semua lapangan.
Menyimpan untuk waktu kesempitan.
Menjauhi segala bentuk kemewahan apatahlagi pembaziran.
Memastikan setiap sen yang dibelanja tidak jatuh ke tangan bukan Islam.
Akidah yang sejahtera (Salimul Aqidah)
Redha Allah sebagai tuhan, Islam sebagai Agama dan Muhammad saw sebagai Nabi.
Sentiasa muraqabah Allah dan mengingati akhirat, memperbanyakkan nawafil dan zikir.
Menjaga kebersihan hati, bertaubat, istighfar, menjauhi dosa dan syubhat.
Ibadah yang betul (Sahihul Ibadah)
Perlu melakukan ibadat yang meninggikan roh dan jiwanya.
Perlu belajar untuk membetulkan amalannya dan mengetahui halal dan haram.
Tidak melampau atau berkurang (pertengahan).
Mampu melawan nafsu (Mujahadah ala Nafsi)
Perlu azam yang kuat untuk melawan kehendak nafsunya dan mengikut kehendak Islam.
Tidak menghiraukan apa orang kata dalam mempraktikkan Islam.
Dai mungkin melalui suasana sukar yang tidak akan dapat dihadapi oleh orang yang tidak biasa dengan kesusahan.
Menjaga waktu (Haarithun ala Waqtihi)
Waktu lebih mahal dari emas, waktu adalah kehidupan yang tidak akan kembali semula.
Sahabat sentiasa berdoa agar diberkati waktu yang ada pada mereka.
..Aku adalah makhluk baru.. menjadi saksi kepada manusia.
Tersusun dalam urusan (Munazzamun fi syu’unihi)
Untuk manfaatkan waktu dengan baik.. perlu penyusunan dalam segala urusan.
Gunakan segala masa dan tenaga tersusun untuk manfaat Islam dan dakwah.
Berguna untuk orang lain (Nafi’un li ghairihi)
Dai umpama lilin yang membakar diri untuk menyuluh orang lain. Dai adalah penggerak dakwah dan Islam. Masa depan Islam, hidup mati Islam bergantung kepada dai.
Amal Islam ialah untuk menyelamatkan orang lain dari kesesatan.
Dai merasa gembira bila dapat membantu orang lain. Paling indah dalam hidupnya ialah bila dapat mengajak seorang manusia ke jalan Allah.
September 29, 2007
Ya Allah,
Dengan Al-Quran, kurniakanlah kasih sayangMu kepada hamba. Jadikanlah Al-Quran sebagai imam, cahaya, hidayah, dan sumber rahmat bagi hamba.
Ya Allah,
Ingatkan hamba apabila ada ayat yang hamba lupa mengingatkannya. Ajarkan pada hamba, ayat yang hamba bodoh memahaminya. Kurniakanlah pada hamba kenikmatan membacanya, sepanjang waktu, baik tengah malam atau tengah hari. Jadikanlah Al-Quran bagi hamba sebagai hujjah, ya Rabbal Alamin.
Ya Allah,
Kurniakanlah kebaikan bagi hamba dalam beragama, yang merupakan kunci kehormatan bagi hamba. Kurniakanlah kebaikan di dunia, yang merupakan tempat hamba menjalani hidup. Kurniakanlah kebaikan akhirat bagi hamba, yang merupakan tempat hamba kembali. Jadikanlah kehidupan hamba sentiasa lebih bak. Jadikanlah kematian sebagai kebebasan hamba dari segala keburukan.
Ya Allah,
Jadikan umur terbaik hamba di penghujungnya, jadikan amal terbaik hamba di penutupnya, jadikan hari-hari terbaik hamba saat bertemu denganMu.
Ya Allah,
Hamba memohon kepadaMU kehidupan yang baik, kematian yang baik, dan tempat kembali yang tidak menyedihkan dan terhindar dari badai.
Ya Allah,
Hamba memohon kepadaMu permintaan yang terbaik, doa yang terbaik, kejayaan yang terbaik, ilmu terbaik, kehidupan terbaik, kematian terbaik. Kuatkanlah hamba, beratkanlah timbangan kebajikan hamba, realisasikan keimanan hamba, tinggikan darjat hamba, terimalah solat hamba, ampuni dosa-dosa hamba dan hamba memohon syurga yang tertinggi.
Ya Allah,
Hamba memohon kurnia yang wajib Engkau berikan, ampunan yang harus Engkau kurniakan, keselamatan dari segala dosa, ghanimah dari segala kebajikan, dan kemenangan mendapat syurga dan keselamatan dari api neraka.
Ya Allah,
Kurniakanlah kebaikan bagi hamba dalam segala urusan, berikan pahala kepada kami dari segenap luka dunia dan seksa akhirat.
Ya Allah,
Anugerahkanlah kepada kami rasa takut kepadaMu, yang membatasi antara kami dengan perbuatan maksiat kepadaMu, dan anugerahkanlah ketaatan kepadaMu yang akan menyampaikan kami kepada syurgaMu, anugerahkanlah pula keyakinan yang akan menyebabkan ringannya bagi kami segala musibah di dunia ini. Ya Allah, anugerahkanlah kenikmatan kepada kami melalui pendengaran, penglihatan dan dalam kekuatan kami selama kami masih hidup dan jadikanlah ia warisan dari kami Ya Allah. Jadikanlah balasan kami kepada orang-orang yang menganiaya kami, dan tolonglah kami terhadap orang yang memusuhi kami. Jangan Engkau jadikan musibah kami ada dalam urusan agama kami. Janganlah Engkau jadikan dunia ini adalah cita-cita kami terbesar dan puncak dari ilmu kami. Jangan Engkau jadikan berkuasa atas kami, orang-orang yang tidak mengasihi kami.
Ya Allah,
Jangan pernah Engkau tinggalkan dosa, melainkan Engkau ampuni. Tidak ada kesukaran kecuali Engkau berikan jalan keluar, tidak ada hutang kecuali Engkau penuhi, dan tidak ada satu keperluan dunia dan akhirat kecuali Engkau penuhi, wahai Tuhan semesta alam.
Ya Rabb kami, berikan kepada kami kebajikan di dunia dan kebajikan di akhirat, serta jagalah kami dari api neraka.
Semoga selawat dan salam sentisa terlimpah curah kepada Nabi Muhammad SAW, keluarga serta para sahabat terpilih
September 3, 2007
Assalammualaikum warahmatullahi wabakatuh
Sudah lama jari jemari ini tidak mengarang sejak posting yang pertama. Ada teman saya berkata, “Bukannya nak update blog!”. Hehe, maaf, masa masih belum kecukupan. Ada, tapi masih belum pakar benar dalam mencuri masa.
Setiap kali menjelang Hari Kemerdekaan atau Sambutan Tahun Baru, hati saya ini merasa tidak senang. Kedua-dua hari ini bukannya disambut dengan satu azam, semangat dan satu iltizam untuk menggerakkan diri untuk menjadi lebih baik dari tahun sebelumnya, tetapi manusia khususnya golongan remaja sibuk mencari hiburan yang kononnya disebatikan dengan dua hari ini. Pemikiran ini sudah tentunya salah, malah sudah jauh tersasar dalam erti kata cara hidup kita sebagai seorang yang bergelar Islam. Saya terbaca satu huraian menarik, berbunyi begini. Jika kita ingin melancong ke Langkawi, sudah tentu belanja yang dikeluarkan tidaklah banyak, cuma sekitar RM1500 sahaja. Cuma kita bandingkan dengan melancong ke negara Timur Tengah misalnya, belanja yang dikeluarkan mungkin sekali mencecah RM20,000. Begitulah kita ibaratkan kehidupan di dunia ini, dan cuba kita bandingkan dengan kehidupan akhirat. Kita tahu malahan mengaku bahawa dunia ini fana, sementara sahaja dan mati itu pasti tetapi alangkah sedihnya kita tidak berusaha sekeras mungkin untuk akhirat. Jika kita boleh bekerja berjam-jam mencari wang bagi meneruskan kehidupan di dunia ini, mengapa kita boleh menghabiskan masa berjam-jam bagi menyiapkan diri untuk kehidupan akhirat yang abadi? Malahan bagi sesetengah orang, tidak sampai sejam pun diperuntukkan untuk beribadat kepada Allah dalam sehari. Alangkah ruginya!
Berbalik kepada isu kemerdekaan, adakah sebenarnya kita boleh dikira betul-betul merdeka? Baik dari segi pemikiran mahupun dari segi fizikal? Mungkin dari segi fizikal kita nampak sebagai seorang warga merdeka, tetapi dari segi mentaliti jauh sekali. Budaya barat mudah benar menerjah masuk pemikiran kita, kita ceduk budaya-budaya tidak bermoral mereka dan kita jadikan ia sebahagian dari budaya kita. Bukan kah ini satu tanda kita tidak merdeka?
Kemerdekaan yang sebenar menurut Islam terkandung di dalam kata-kata Rub’ie bin A’mir ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum:
الله ابتعثنا لنخرج من شاء من عبادة العباد إلى عبادة الله, ومن جور الأديان إلى عدل الإسلام ومن ضيق الدنيا إلى سعة الدنيا والآخرة:.
Maksudnya: Allah mengutuskan kami (orang-orang islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat
Saya menasihati diri saya sebelum menasihati orang lain.
Moga bermanfaat dengan izin Allah.
Wassalam
